suria

Keputusan Tempoh Moratorium Berhubung Aktiviti Bauksit Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Kabinet akan membuat keputusan minggu depan sama ada tempoh moratorium ke atas semua aktiviti bauksit di Pahang akan dilanjutkan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata laporan mengenainya hampir siap dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membuat keputusan.

"Saya akan membentangkan laporan itu kepada kabinet dan akan mengumumkannya apabila laporan itu siap sepenuhnya kelak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Sumber Air Asia (AWARE) 2016' di sini Rabu.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari lepas dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat aktiviti berkenaan.

Pada 28 April lepas, Wan Junaidi berkata keputusan berhubung tempoh moratorium ke atas semua aktiviti bauksit di Pahang akan dibuat sebelum 15 April ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada tempoh tempoh moratarium itu akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Sementara itu, ditanya sama ada catuan air akan dilakukan di Perlis, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan berikutan empangan di negeri itu merekodkan paras air kritikal, Wan Junaidi berkata kerajaan negeri akan memutuskan perkara berkenaan.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata enam empangan merekodkan paras air kritikal dengan paras air merosot antara 20.14 peratus dan 33.9 peratus sehingga akhir Mac lepas akibat cuaca panas.

Ia melibatkan empangan Timah Tasoh di Perlis; Lebam dan Layang di Johor; Milau dan Babagon di Sabah serta Gemencheh di Negeri Sembilan.

Ongkili berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau paras air dan jumlah air diproses untuk kegunaan rakyat.

Artikel Lain