KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret hari ini berhubung karikatur Perdana Menteri yang ditampal pada kereta peronda polis dalam perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Sabtu lepas. Muhammad Zhafran Muhammad Zuhdi, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menampal cetakan kertas yang berunsur mengaibkan dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan pada kereta peronda MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM). "Tertuduh telah tampal pelekat dalam bentuk gambar kartun Perdana Menteri di kereta polis, tertuduh tidak lakukan sebarang provokasi," kata peguam Farida Muhammad yang mewakili tertuduh ketika ditanya Majistret Jesseca Daimis apa yang dipaparkan pada cetakan kertas itu. Muhammad Zhafran didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Melayu Off Jalan Tun Perak, Dang Wangi di sini, pada 3.30 petang, 2 April lepas mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pegawai Pendakwa ASP Zuraimi Kamarozzaman menawarkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Farida memohon jaminan dikurangkan kepada RM500 atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapanya selain boleh hadir ke mahkamah kerana tertuduh hanya bekerja pada waktu malam. Jesseca membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes. -- Bernama