suria

Rafizi Direman Berhubung Pendedahan Dokumen LTAT

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli direman tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dokumen rasmi dan dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas Rafizi dibawa ke mahkamah di sini. 

Diiringi anggota polis, ketibaan Rafizi pada 1.50 petang itu turut disertai peguamnya R. Sivarasa. 

Pada Selasa, Naib Presiden yang juga Setiausaha Agung PKR itu ditahan polis di luar bangunan Parlimen kira-kira 6.20 petang bagi disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. 

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Sivarasa berkata beberapa barang milik anak guamnya seperti komputer, laptop dan telefon bimbit turut dirampas selepas polis mengunjungi ibu pejabat PKR di Damansara serta Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan rumah Rafizi di Kampung Pandan. 

Rafizi dipercayai akan dibawa ke lokap polis di Jinjang, dimana beliau ditahan semalam, untuk siasatan lanjut, katanya. 

Kelmarin, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT. 

Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dakwaan Rafizi itu adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.

Berita selanjutnya menyusul.


Rafizi Ramli, LTAT, OSA

Artikel Berikut

Artikel Lain