TAPAH: Hanya seorang pelajar perempuan daripada 65 orang dan seorang guru yang terlibat kes keracunan makanan Sekolah Menengah Sains Tapah (Sesta) masih ditahan di wad Hospital Tapah. Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang Osman Mohamed Bahari berkata pelajar tingkatan lima itu dijangka dibenarkan pulang pada Jumaat setelah enam hari berada di wad itu sejak Ahad. "Pelajar perempuan itu kini dilaporkan stabil dan pagi tadi kami telah hubungi pihak hospital dan mereka memberitahu dia dijangka keluar selewat-lewatnya petang ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan sekolah itu di sini Jumaat. Seramai 38 pelajar telah dirujuk ke Hospital Tapah manakala 27 pelajar lagi menerima rawatan dan ditempatkan di bilik rawatan sekolah itu. Kesemua pelajar berkenaan termasuk seorang ketua warden asrama, Safarim Razali mengalami rasa pening dan mual serta cirit-birit selepas memakan juadah lewat malam iaitu roti jala dan kari ayam pada malam Sabtu yang disediakan pengendali dapur asrama. Menurut beliau, berdasarkan pemantauan berterusan sejak 3 April, pihaknya mendapati keadaan pelajar dan guru (13 hingga 50 tahun) mangsa keracunan makanan itu kini semakin baik. Kesemua mereka diberi cuti sakit sehingga Ahad dan diharapkan akan ke sekolah semula Isnin depan, katanya. Berkenaan peralatan dapur dewan makan, Osman berkata pihaknya telah melakukan kerja penyelenggaraan dan pelupusan peralatan yang didapati rosak dan menggantikannya dengan yang baharu. - BERNAMA