suria

Lelaki Didenda RM4,000 Ugut Kontraktor

KUALA LUMPUR: Gara-gara memeras ugut seorang kontraktor, seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Rizan Mohd Zaid, 39, selepas dia mengaku bersalah memeras ugut Yong Yin Soon, 40, dengan meminta mangsa menyerahkan wang RM4,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Khairul didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 2/10 Taman Koperasi Polis Fasa 1, di sini, pada 9 pagi, 29 Mac lalu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau sebat atau  mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abdul Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

Khairul yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan beliau yang bekerja sendiri menanggung tiga anaknya. - BERNAMA

ugut, kontraktor, mahkamah

Artikel Lain