suria

Debat Rahman-Guan Eng: RTM Sedia Slot Siaran Langsung

PUTRAJAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia untuk menyiarkan secara langsung debat berkaitan isu tanah Taman Manggis antara Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, RTM akan membantu bagi memastikan perdebatan itu disiarkan menerusi program yang dikenali sebagai Demokrasi.

"Kami sedia menyiarkannya secara langsung, terpulang kepada mereka sama ada untuk melakukannya atau tidak. Sesi debat itu tanpa penonton bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) menyambut baik cabaran Guan Eng untuk berdebat dengannya.

Menerusi Twitternya, Abdul Rahman berkata: "Saya menyambut baik perdebatan awam berkaitan tanah Taman Manggis. Pegawai saya akan berhubung dengan pihak di sebelah sana untuk mendapatkan maklumat mengenainya.

"Debat ini akan membolehkan penduduk Pulau Pinang mengetahui fakta dan kebenaran di sebalik skandal Taman Manggis."

Pada Khamis, Guan Eng berkata, dia telah bersedia untuk berdebat dengan Abdul Rahaman berkaitan isu itu dan mahu sesi itu disiarkan secara langsung.

BN mendakwa, kerajaan DAP Pulau Pinang menjual tanah Taman Manggis sedangkan ia diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin.--Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain