suria

Rakyat Perlu Diberi Perhatian Kerana Miliki "Kuasa" - TPM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Dolah Ibrahim, 78, (kiri) pada program 'Home Help' di Kampung Tanjung Bayan Hutan Melintang, Ahad. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, Datuk Rusnah Kassim (dua, kiri). Dolah yang uzur terpaksa menjaga isterinya yang sakit Maimunah Amar (berkerusi roda) akibat diserang angin ahmar.

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berkata kesejahteraan rakyat terutama golongan kurang bernasib baik wajar diberi perhatian kerana mereka mempunyai 'kuasa' dalam menentukan pemerintahan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata kuasa rakyat itu akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada kerajaan pada setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

"Rakyat perlu diberi kepedulian kerana kuasa rakyat adalah kuasa keramat setiap lima tahun sekali," katanya ketika menutup Kembara Kebajikan 1Malaysia anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini, Ahad. 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Mengenai program berkenaan, Ahmad Zahid berkata ia wajar diteruskan kerana berjaya memberi kesan positif dalam kehidupan masyarakat terutama golongan kurang bernasib baik.

Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat terus menambah bilangan penerima bantuan di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berharap bantuan yang diberikan kepada kumpulan penerima terutama golongan kurang berkemampuan dapat ditingkatkan sesuai dengan keperluan mereka.

"Dari segi bantuan oleh kementerian serta agensi berkaitan memang masih tidak puas hati lagi kerana kita faham ada kekangan kewangan.

"Bagaimanapun, kita berharap sumbangan yang diberikan akan memberi faedah kepada penerima...pada masa sama penerima sumbangan haruslah berterima kasih," katanya. 

Sementara itu, Rohani berkata pihaknya berhasrat mengadakan program Kembara Kebajikan 1Malaysia setiap tahun, berbanding dua tahun sekali ketika ini. 

"Semangat kesukarelawan dan tolong menolong dalam kalangan masyarakat yang diterapkan dalam program ini perlu diperluaskan agar lebih banyak kumpulan sasar dapat dibantu," katanya. 

Terdahulu, Rohani melakukan lawatan ke tiga buah rumah yang terlibat dalam program 'Home Help' di sini, selain menyampaikan bantuan serta keperluan harian.

Antara yang menerima bantuan ialah Halimah Mansor, 76, yang bukan sahaja uzur, malah terpaksa menjaga suami Mohd Rasid Shaari, 78, yang terlantar sakit akibat strok.

Halimah yang mempunyai seorang anak angkat golongan kurang upaya (OKU), berkata selama ini beliau bergantung kepada bantuan penjagaan pesakit terlantar daripada JKM sebanyak RM300 sebulan bagi menyara kehidupan keluarga.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Lain