suria

Tun M, Jangan Hilangkan Hormat Rakyat - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan
pada majlis perasmian penutup Kembara Kebajikan di Dewan Serbaguna Hutan Melintang, Ahad.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

HUTAN MELINTANG: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya melakukan sesuatu perkara yang boleh membuatkan rakyat hilang hormat terhadapnya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan Dr Mahathir supaya pihak luar mencampuri urusan dalaman negara ini, adalah bercanggah dengan prinsip yang beliau sendiri tegakkan sebelum ini.

"Jangan lakukan sesuatu yang akhirnya nanti orang yang hormati kita sebelum ini kerana prinsip yang baik, akan hilang hormat.

"Dalam hal ini, eloklah jaga acuan politik mengikut tata etika negara kita...hanya gunakan acuan yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas  menutup Kembara Kebajikan 1Malaysia, di sini, Ahad. 

Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, bahawa harapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Dr Mahathir semasa memimpin Malaysia sebelum ini, pernah mengingatkan pemimpin kerajaan dan Umno supaya sentiasa patuh kepada pemimpin yang baik.

"Maka, janganlah ubah pendirian kami dengan mengajak kami melakukan yang sebaliknya.

"Dulu dia (Dr Mahathir) marah kerana menggunakan hubungan antarabangsa sehingga ada orang yang dituduh jadi tali barut asing," katanya. 

Mengulas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahmad Zahid berkata polis diberi kuasa sepenuhnya untuk menjalankan siasatan mengenai isu tersebut.

Beliau berkata siasatan akan menjurus kepada dua aspek sama ada terdapat unsur jenayah perdagangan atau perlanggaran peraturan dalam urus niaga syarikat.

"Apapun, kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan jika ada pertuduhan yang mempunyai bukti untuk dibawa ke mahkamah," katanya. 

Khamis lepas, siasatan oleh PAC mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu 'kurang memuaskan' menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat.

Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014.-- Bernama

Artikel Lain