suria

Mayat Kedua Pekerja Lombong Tertimbus Ditemui

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Mayat mangsa kedua kejadian tanah runtuh di tapak Lombong Pasir Linggiu, Bandar Tenggara dekat Kota Tinggi akhirnya berjaya ditemui masuk hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata mayat Udin Nurudin, 45, berjaya dikeluarkan sepenuhnya pada 2.20 petang tadi selepas operasi SAR oleh pasukan keselamatan diaktifkan pada 12.40 tengah hari.

"Operasi yang turut disertai lima pekerja lombong terbabit menemui mayat rakyat Indonesia itu, kira-kira 100 meter dari lokasi penemuan mayat mangsa pertama, Saeful Amir, sebelum ini," katanya yang dihubungi di sini Selasa.

Rahmat berkata mayat Udin kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi Jumaat lepas (8 April), Udin dan Saeful sedang mengendalikan mesin pengorek dan penyedut pasir sebelum tanah di kawasan itu tiba-tiba runtuh dan menimbus mereka.

Saeful, 30, yang juga rakyat Indonesia ditemui mati tersepit pada rantai besi mesin penyedut pasir sejurus berjaya dikeluarkan oleh majikannya dan beberapa pekerja lain, pada hari kejadian.

Tanah runtuh terbabit berlaku di kawasan seluas 18 meter persegi daripada keseluruhan kawasan seluas 74 meter persegi dengan kedalaman 30 meter di tapak lombong pasir tersebut. - BERNAMA

mayat, lombong, tertimbus

Artikel Lain