suria

Mayat Pemancing Hilang Ditemui

JOHOR BARU: Mayat seorang pemancing yang hilang dalam kejadian bot tenggelam yang dinaikinya bersama lapan rakan di perairan Tanjung Sedili dekat Kota Tinggi minggu lepas, ditemui orang awam pagi Selasa.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata Mohd Nor Kelewon, 34, yang berasal dari Simpang Renggam ditemui kira-kira 17 batu nautika dari arah barat daya lokasi kejadian.

Beliau berkata Mohd Nor dijumpai oleh orang ramai pada pukul 7.30 pagi Selasa dalam keadaan tertiarap di Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

"Mayat disahkan pemancing yang hilang apabila isteri dan ahli keluarga mangsa membuat pengecaman melalui pakaian dan seluar dalam yang dipakai," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Selasa.

Amran berkata pihaknya difahamkan, mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga sebelum dikebumikan di kawasan tempat tinggalnya di Simpang Renggam.  - BERNAMA

mayat, pemancing

Artikel Lain