PETALING JAYA: Kehangatan temasya Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan memberi ilham kepada personaliti media sosial ini untuk menamakan akaun Facebooknya sempena pemain bola sepak antarabangsa yang dikagumi. Beberapa nama pemain antarabangsa menjadi pilihan Luqmanulhakim Kamaruddin, 18, antaranya pemain Jerman, Mesut Ozil dan Lukas Podolski. “Saya tukar beberapa nama di Facebook seperti Mesut Ozil dan Lukas Podolski. Saya kemudiannya menggabung nama saya seperti Luqman Podolski. Secara kebetulan, nama Luqman Podolski dah tak boleh tukar lagi ketika itu sebab ada had pertukaran. “Sampai ke satu tahap, orang dah tak panggil saya Luqman, tetapi nama baharu, Podolski. Jadi, saya biarkan nama itu kekal sampai sekarang,” kata Luqman Podolski yang mempunyai hampir 400,000 pengikut di Instagram. Luqman Podolski merupakan finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online. Bagaimanapun menurut Luqman, dia bukanlah aktif bermain bola sepak, tetapi sentiasa mengikuti perkembangan sukan itu setiap kali penganjuran Piala Dunia. Dia lebih gemar menghasilkan pelbagai video menarik terutama menerusi akaun Instagramnya, cetusan inspirasi daripada personaliti media sosial, Faiz Dickie. “Saya mula buat video di Instagram pada Jun tahun lalu, selepas melihat beberapa video yang dihasilkan Faiz Dickie, dan cuba dengan cara saya sendiri,” katanya. Ditanya mengenai Faiz Dickie yang turut tercalon dalam kategori yang sama bagi APO2016, Luqman seakan tidak percaya kerana bersaing dengan idola sendiri. “Faiz Dickie idola saya. Kalah menang itu adat... tetapi bagi saya, dia layak menang berbanding saya sebab dia orang lama dalam media sosial ini. ‘Jadi, saya rasa diri ini masih bawah dan jauh lagi, jika dibandingkan yang lain dalam kategori yang sama terutama Faiz Dickie,” ujar Luqman. Menurut bekas pelajar SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang baharu mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, beliau merancang untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang komunikasi massa. “Minat saya lebih ke arah penerbitan video. Mana tahu nanti saya jadi juruvideo atau pengarah produksi sekiranya diberikan peluang,” ujar Luqman. Luqman gemar menghasilkan video cetusan inspirasi Faiz Dickie. Selain Faiz Dickie, Luqman Podolski turut bersaing dengan Amran Fans, Ucopppp, Mat Luthfi bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online. Proses pengundian bermula 1 April hingga 27 April ini dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web khas APO2016 iaitu http://apo.mstar.com.my/undi.aspx Debaran APO2016 mulai dirasai selepas peringkat pertama berakhir pada 31 Mac dan pengumuman senarai pencalonan lima terbaik itu diadakan di Menara Star di 31 Mac lalu. Acara ini dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.