suria

Pembenihan Awan Hanya Hasilkan Hujan Di Gemencheh - Shahidan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersiap sedia melakukan operasi pembenihan awan berikutan cuaca panas kebelakangan ini.

KANGAR: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di 12 lokasi di lima negeri di Semenanjung pada Rabu hanya berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata operasi di Empangan Timah Tasoh (Perlis), Empangan Muda, Pedu, Beris dan Ahning (Kedah), Empangan Air Hitam dan Teluk Bahang (Pulau Pinang), Empangan Bukit Merah (Perak) dan Empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan (Melaka) gagal menghasilkan hujan.

"Namun, kita akan teruskan lagi OPA esok di semua kawasan tersebut," katanya kepada Bernama pada Rabu malam.

Shahidan yang juga timbalan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah berkata paras air Empangan Timah Tasoh menyusut sebanyak 0.03 meter kepada 26.26 meter hari ini dari 26.29 meter semalam.

Paras kritikal 26.50 meter. -- Bernama


OPA, Shahidan Kassim, Gemencheh

Artikel Lain