SHAH ALAM: Tiga lagi anggota kumpulan penjenayah bersenjata yang ditembak mati di sebuah blok kosong kondominium Highland Towers, Hulu Klang, dekat sini semalam dipercayai masih bersembunyi dalam hutan berhampiran. Semalam, tiga daripada enam suspek bersenjata dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun melibatkan kerugian RM545,900 di sekitar Selangor, ditembak mati selepas cuba menyerang polis dengan senjata tajam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata operasi mengesan ketiga-tiga suspek terbabit sedang dijalankan sejak semalam berikutan kawasan hutan berhampiran bangunan lama itu agak luas. "Setakat ini, belum ada tangkapan terbaharu namun operasi menjejaki tiga suspek lelaki itu sedang dilakukan dengan lebih giat kerana kita percaya mereka masih berada dalam lingkungan kawasan kejadian. "Status kewarganegaraan ketiga-tiga suspek yang ditembak mati semalam pula sedang dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen dijumpai namun disyaki mereka adalah warga asing," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mesra ke atas pesakit-pesakit di Hospital Shah Alam di sini, Rabu, sempena sambutan Hari Polis ke-209 baru-baru ini. Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, serbuan di tingkat satu bangunan tinggal berkenaan menyebabkan suspek cuba menyerang polis terlibat sehingga terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tiga daripada enam suspek berkenaan. Mohd Adnan berkata siasatan mendapati kumpulan penjenayah tersebut menggunakan bangunan tinggal itu sebagai tempat persembunyian untuk melakukan samun setelah mengenal pasti sasaran rumah atau premis yang dikehendaki. Sementara itu, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan semalam bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita yang dicampak ke dalam gaung di KM19, Jalan Gombak Lama, menghala Genting Sempah pada Ahad lepas. Beliau berkata individu yang juga teman lelaki mangsa ditahan di sekitar Batu Caves dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam. "Bagaimanapun, kita masih menyiasat lelaki berumur 36 tahun itu sama ada dia terlibat atau tidak dalam kes berkenaan dan motif kejadian tersebut. Siasatan juga mendapati wanita berkenaan berumur 34 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak," katanya. Pada Ahad lepas, sekumpulan penunggang basikal menemui mayat seorang wanita dalam belukar di Genting Sempah, ketika berkayuh di kawasan berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi. -- Bernama