KOTA KINABALU: Empat pelaut warga Indonesia dipercayai diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf di perairan Filipina, manakala enam anggota lain, termasuk seorang yang cedera berjaya melarikan diri ke Semporna di pantai timur Sabah. Insiden itu merupakan yang ketiga dalam tempoh sebulan membabitkan bot tunda melalui perairan antarabangsa di kepulauan Tawi-Tawi di Filipina, bersempadan dengan pantai timur Sabah. Ia dipercayai berlaku di perairan Filipina pada kira-kira pukul 8 malam Jumaat. Seorang daripada anak kapal yang melarikan dihantar ke Semporna untuk rawatan perubatan manakala lima lagi berlayar ke Lahad Datu bagi mendapatkan bantuan polis. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, butiran insiden tidak dapat dipastikan. Beliau bagaimanapun mengesahkan kejadian berlaku di perairan antarabangsa. "Mereka datang kepada kita untuk mendapatkan bantuan," katanya, sambil menambah polis masih mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai mereka termasuk yang cedera. Difahamkan, ketika kejadian, bot tunda berkenaan dalam perjalanan dari Filipina ke Banjarmasin di Indonesia. Tidak dipastikan bagaimana kru tersebut cedera atau sama ada terdapat tembakan yang dilepaskan. Pada 26 Mac lalu, kumpulan penculik yang dikaitkan dengan Abu Sayyaf menculik 10 pelaut warga Indonesia dari bot tunda. Manakala pada 1 April lalu, empat pelaut warga Malaysia diculik dari kapal tunda MV Massive 6, dekat Pulau Ligitan, Sabah.