suria

Kevin Morais Mangsa Pembunuhan Kejam - Saksi

Mendiang Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais disifatkan menjadi mangsa pembunuhan kejam berdasarkan keadaan jasad yang meringkuk seperti kedudukan janin yang dimasukkan ke dalam karung guni sebelum disumbat dalam tong dram dan disimen, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurliza Abdullah, 51, menolak cadangan peguam pada Khamis kemungkinan si mati telah membunuh diri dengan menekup mukanya dengan beg plastik sehingga lemas. 

Semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari ketujuh kes pembunuhan Kevin Morais, Dr Nurliza menegaskan dalam keadaan sedemikian, beg plastik sepatutnya masih berada pada bahagian kepala kerana si mati terus pengsan dan mati dengan cepat.

Dr Nurliza berkata, kebiasaannya kelemasan udara akibat plastik beg adalah satu bentuk pembunuhan yang memerlukan individu lain untuk menekup keseluruhan kepala si mati dan mengetatkan di bahagian leher bagi menghalang kemasukan udara  untuk individu itu bernafas.

Wan Shaharuddin: Kalau tidak diketatkan (beg plastik), bolehkah seseorang itu mengalami asfiksia?

Dr Nurliza: Bergantung kepada jenis beg plastik. Ada beg plastik yang melekat pada bahagian mulut dan menutupi bahagian muka dan saluran hidung serta mulut yang menghalang kemasukan udara.

Menjawab sama ada ketiadaan kuku tangan dan kaki si mati mempengaruhi keputusan laporan bedah siasat, Dr Nurliza berkata, ia tidak akan mempengaruhi keputusan laporan kerana tanda-tanda konjesi yang tertumpu pada keseluruhan muka dan kepala adalah tanda-tanda asfiksia.

"Ia juga mengambil kira kesan-kesan kecederaan trauma pada bahagian dada dan mulut iaitu kontusi atau hematoma yang menyokong sebab kematian akibat kemungkinan kelemasan udara," katanya.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mencadangkan kemungkinan pereputan mayat telah berlaku di tempat lain sebelum dimasukkan ke dalam tong dram, Dr Nurliza menolak cadangan tersebut kerana proses pereputan atau pembusukan yang berlaku di luar (terdedah) kebiasaannya mempunyai ulat mayat.

"Dalam kes ini, ulat pada jasad mayat tiada. Tidak mungkin telur ulat juga ada jika proses pembusukan berlaku, sebab (jasad) sudah dimasukkan ke dalam karung guni dan tong dram. 

"Ulat tidak dapat masuk sebab (tong dram) sudah tertutup rapat," jelasnya. 

Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan  USJ1/6D, Subang Jaya.

Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 3 Mei ini. - Bernama

Kevin Morais

Artikel Lain