suria

Hampir 4,000 Orang Dengar Ceramah Fariq Naik Di P.Pinang

Dr Zakir Naik

GEORGE TOWN: Hampir 4,000 orang tidak melepaskan peluang untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Fariq Naik, anak kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik yang diadakan di Dewan Tunku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM) pada Jumaat malam.

Fariq, 22, yang merupakan lulusan A level (CIE, UK), di Islamic International School and Junior College, Mumbai, India itu menyampaikan ceramah bertajuk 'Misconceptions About Islam' (Salah Tanggapan Mengenai Islam). 

Dalam ceramah selama 1 jam 15 minit anjuran Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) itu, Fariq turut berkongsikan berkenaan isu serta soalan yang seringkali menjadi pertanyaan dan persoalan oleh orang bukan Islam antaranya isu poligami, jihad dan pemakaian hijab oleh wanita Islam. 

Rata-rata penonton yang hadir menyaksikan ceramah Fariq melahirkan rasa teruja dan berpuas hati dengan cara penyampaian Fariq yang mudah difahami pendengar.

Bagi suri rumah Safiah Abdul Satar, 56, ceramah yang disampaikan oleh anak muda itu sangat bagus untuk difahami dan baginya ia tidak cukup puas untuk didengar kerana masih banyak perkara yang ingin diketahui mengenai salah faham terhadap Islam.

"Cara penyampaian Fariq sangat ringkas dan mudah faham, namun waktu yang singkat malam ini membantutkan Fariq untuk menjawab kesemua 20 persoalan apabila mampu menjawab separuh daripadanya," katanya ketika ditemui selepas ceramah itu.

Bagi penuntut USM, Baharuddin Abu Bakar, 25, pula berkata ceramah itu sangat berguna kepada orang Islam untuk berhadapan dengan rakan-rakan yang beragama lain bagi membetulkan salah faham mereka dan gambaran sebenar Islam itu.

"Kadangkala kita yang beragama Islam ini kata sahaja belajar pendidikan agama tetapi ilmu pengetahuan untuk menjawab persoalan orang bukan beragama Islam masih terlalu cetek dan perlu banyak dipelajari," katanya.

Beliau yang pada mulanya kecewa dengan pembatalan ceramah oleh Dr Zakir Naik sedikit terubat apabila Fariq berjaya menyampaikan ceramah yang setanding bapanya malah penggunaan bahasa Inggeris dalam ceramahnya cukup lancar dan difahami. 

Seorang lagi hadirin yang juga penuntut USM, Zulfar Marwah, 26, berkata program yang mendapat sambutan ramai itu adalah sangat bagus kerana ia bukan sahaja bercerita mengenai hiburan tetapi dari segi intelektual.

Sementara itu, Fariq ketika ditemui Bernama seusai majlis itu turut melahirkan kesyukuran di atas sambutan yang diberikan orang ramai yang hadir mendengar ceramahnya.

"Alhamdulilah...program ini sangat bagus. Mengenai salah tanggapan terhadap Islam, ini sangat penting. Kita perlu menyampaikan penyelidikan daripada al-Quran dan Hadis, jadi salah faham ini saya cuba untuk jelaskan kepada bukan muslim," katanya.

Pelbagai lapisan umur dilihat memenuhi ruang dewan, tidak cukup dengan itu,masyarakat berbilang bangsa dan agama turut hadir mengikuti ceramah tersebut menerusi skrin yang dipaparkan di luar dewan berkenaan.

Penglibatan Fariq dalam bidang syarahan agama ini adalah seawal usia lapan tahun kerana sering mengikuti program dakwah bapanya.

Selain itu, sedari kecil lagi Fariq juga pernah memberikan dakwah singkat dalam bahasa Inggeris dan Arab di hadapan kira-kira 100 penonton di kota-kota di dunia seperti Chennai, Pune,Dubai, Itali dan Trinidad.

Turut hadir mendengar syarahan anak muda itu ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor. 

Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan ceramah oleh Pengasas Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) Kamarudin Abdullah bertajuk 'Kenali Islam'.-Bernama

Fariq Naik, Dr Zakir Naik

Artikel Sebelum

Artikel Lain