GEORGE TOWN: Bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan sebuah premis membuat besi di Lorong Perak di sini, Ahad. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 8.10 pagi yang memaklum menjumpai bayi berkenaan. "Bayi itu masih bertali pusat dan hanya dibaluti kain tuala dan baju T. Bayi seberat 2.1 kilogram dan berkulit cerah itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya. Mior Faridalatrash berkata pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lorong Perak bagi mengenal pasti individu yang membuang bayi berkenaan. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis. Pada Sabtu, seorang bayi perempuan yang juga masih bertali pusat turut ditemui berbalut dengan baju sejuk di hadapan sebuah rumah di Kampung Masjid, Teluk Kumbar dekat sini. Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Siti Norsalawati Saad berkata bayi tersebut masih ditempatkan di HPP.