suria

Penuntut UMT Mati Lemas Ketika Snorkeling Di P.Redang

- Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut warga Itali yang mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditemui lemas di Pulau Redang, petang Ahad.

Mayat Lorenzo Borella, 27, dijumpai terapung kira-kira pukul 5.15 petang pada jarak 250 meter dari pesisir pantai berhampiran kawasan Chagar Hutang.

Ketika kejadian mangsa dipercayai sedang melakukan aktiviti snorkeling sambil merakam gambar hidupan laut secara bersendirian.

Mangsa sedang mengikuti program pertukaran pelajar di bawah program pengajian Erasmus Mundus Master Course Biodiversity and Ecosystems dan memilih bidang pemuliharaan Ekosistem dan Konservarsi Penyu.

Beliau berada di UMT sejak 21 Februari lalu bersama 22 orang penuntut antarabangsa yang lain dan mangsa juga meminati kajian ikan jerung.

Menurut kenyataan UMT penuntut tersebut turut serta dalam program penggambaran Massive Open Online Course yang dianjurkan di salah sebuah pusat penyelidikan UMT.

Bagaimanapun mangsa tidak terlibat dalam program penggambaran tersebut dan mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti snorkeling di sekitar lokasi penggambaran.

"Semua kakitangan dan pelajar sedang mengikuti penggambaran dan tidak menyedari insiden yang menimpa mangsa...namun salah seorang penyelam UMT telah mengesan mangsa di dasar laut dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

"Mereka cuba menyelamatkan dengan melakukan pertolongan cemas dan CPR sebanyak dua kali namun tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Artikel Lain