Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul berkata faktor kandungan bakteria itu berada dalam air sungai selalunya disebabkan pelepasan sisa loji kumbahan manusia ataupun sisa najis daripada ladang ternakan haiwan.
"Kita sedang membuat siasatan terperinci terhadap loji kumbahan atau pusat ternakan haiwan yang berkaitan dalam kes ini," katanya kepada Bernama Isnin.
Rosli berkata JAS Pahang tidak boleh menunding jari kepada mana-mana pihak selagi siasatan belum selesai memandangkan hasil penilaian awal pihaknya juga mendapati terdapat kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa tercemar itu pada waktu tengah malam tanpa disedari orang ramai.
"Jika dilihat, tiada aktiviti berpotensi yang boleh menyebabkan pencemaran seperti kawasan perindustrian dekat sungai ini. Sehubungan itu, kita memerlukan bukti saintifik untuk tahu punca sungai ini tercemar dengan E-Coli," katanya.
Mengenai keadaan semasa sungai itu, Rosli berkata sungai berkenaan sudah kembali bersih dan cantik seperti sedia kala berdasarkan pemerhatiannya pada 9 April lepas.
Media melaporkan Sungai Nyior bertukar menjadi hitam berlaku pada pertengahan Mac lepas.