suria

Finalis APO2016: Ucop Gementar Berganding Dengan Nora Danish

Ucop dan Nora Danish bergandingan dalam telemovie 'Lampu Merah' arahan Ghaz Abu Bakar. Foto instagram @noradanish

PETALING JAYA: Raja Dubsmash Malaysia, Ucop mengakui berasa gementar digandingkan dengan pelakon popular Nora Danish dalam sebuah telemovie yang kini sedang menjalani penggambaran.

Telemovie berjudul ‘Lampu Merah’ yang menjadikan Ucop dan Nora sebagai watak utama merupakan arahan pengarah, Ghaz Abu Bakar.

Ucop atau nama sebenarnya, Yusof Hashim, 23, berkata, telemovie itu merupakan drama keempatnya dan yang kedua memegang watak utama.

“Saya teruja menerima tawaran ini kerana ia diarahkan oleh pengarah hebat, Ghaz Abu Bakar yang banyak mengarahkan filem, drama dan video yang berkualiti.

“Dan siapa yang tak nak berlakon dengan Nora Danish, satu nama besar dalam industri. Jujurnya, saya gementar berlakon di samping Nora Danish,” katanya kepada mStar Online.

Ucop menerusi Instagramnya ‘Ucopppp’ merupakan finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online.

Salah satu babak antara Ucop dan Nora Danish. Foto instagram @ghazabubakar

Ditanya mengenai Nora, Ucop secara peribadi menyifatkan pelakon itu sebagai seorang yang profesional tetapi mudah untuk bekerjasama.

“Pada mulanya saya berasa segan dengan Nora Danish. Tetapi bila di lokasi penggambaran, tiada jurang antara kami.

“Dia seorang yang peramah dan merendah diri. Keperibadiannya itu membuatkan saya sebagai pendatang baharu tidak berasa kekok,” katanya sambil menambah berasa terharu apabila Nora turut pernah menonton video Dubsmashnya di Instagram.

Ucop berkata, dia memegang watak sebagai Amir, seorang pemuda yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan pada masa sama mencari pendapatan sebagai pemandu Uber.

“Amir meminati seorang gadis bernama Ayu, lakonan Nora Danish. Amir berusaha untuk membuatkan Ayu menyukai dia. Tetapi ada sesuatu mengenai Ayu yang tidak disangka-sangka.

“Suspens... itu kena tunggu apa jadi antara Amir dan Ayu bila telemovie ini disiarkan nanti,” katanya secara berseloroh mengenai penggambaran telemovie ‘Lampu Merah’ yang mengambil masa kira-kira 12 hari.

Ditanya siapakah pelakon wanita yang diidamkan untuk bergandingan bersama, Ucop memilih pelakon Norkhiriah dan Sharifah Amani.

"Lakonan kedua-dua mereka begitu realistik. Bila saya tengok mereka berlakon di TV, saya tidak menonton TV tetapi seolah-olah menyaksikan satu kejadian. Lakonan mereka sangat 'real'," ujar Ucop.

Ucop melakonkan watak Amir seorang pemandu Uber dalam telemovie 'Lampu Merah'. Foto instagram @ucopppp

Mengenai APO2016, Ucop turut bersaing dengan personaliti media sosial lain iaitu Faiz Dickie, Amran Fans, Mat Luthfi dan Luqman Podolski.

Jelas Ucop, dia tidak melihat kesemua calon sebagai saingan atau pencabarnya, tetapi sebagai individu yang dicalonkan orang ramai.

"Pencalonan ini menunjukkan orang menilai kita, mereka yang mencalonkan kita. Saya berbesar hati menjadi salah seorang yang tercalon dalam kategori ini,” katanya.

Pengundian APO2016 masih dibuka dan boleh dibuat sehingga 27 April ini menerusi http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April ini (Sabtu) yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Artikel Berikut

Artikel Lain