suria

Sehari Bersama Panda Tinggalkan Kenangan Manis

PROGRAM Sehari Bersama Panda yang ditawarkan oleh Zoo Negara semakin mendapat sambutan ramai.

Program ini yang dimulakan pada 19 Mac lalu memberikan peluang kepada peserta atau sukarelawan melakukan tugas-tugas harian penjagaan pasangan Xing Xing dan Liang Liang serta anak mereka Nuan Nuan.

Menerusi program yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang ini, peserta akan diberi penerangan tentang aspek penjagaan panda dari segi diet, kesihatan dan kebersihan persekitaran, selain perlu melakukan tugas-tugas sebagai seorang penjaga panda yang bertugas di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC).

Antara tugas tersebut termasuk mencuci kandang, membersihkan ruang pameran, membuat kek panda dan memotong buluh untuk diberikan kepada haiwan ini.

Setakat ini, program ini yang masih di peringkat percubaan akan dijalankan pada hujung minggu dan hari biasa yang ditentukan oleh pihak Zoo Negara.

Setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM150 seorang bagi warganegara Malaysia dan RM300 untuk warga asing. Peserta akan diberi sarapan pagi dan makan tengah hari, sehelai kemeja-T dan sijil penyertaan.

Bagi yang berminat untuk menyertai 'Giant Panda Keeper Programme' di GPCC dan program sukarelawan Zoo Negara, boleh menghubungi Jabatan Pendidikan, Perhubungan Awam dan Pemasaran Zoo Negara di talian 03-41083422 dan e-mel : [email protected].

Artikel Lain