SIMUNJAN (Sarawak): Populariti Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dijadikan sebagai penyuntik semangat bagi Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11). Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar AwangTengah Ali Hasan berkata walaupun penerimaan dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Adenan adalah positif namun ia tidak akan menjadikan jentera pilihanraya BN leka dan mengambil sikap mudah dalam menghadapi PRN-11, 7 Mei ini. "Kita anggap pilihan raya ini satu perkara yang serius. Pokok pangkalnya untuk memastikan Adenan mendapat mandat besar untuk terus membangunkan Sarawak,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek bekalan air Simunjan dan Gedong di sini pada Rabu. Beliau mengulas laporan hasil kajian Merdeka Center yang menunjukkan 81 peratus daripada 815 responden dalam kalangan pengundi Sarawak berpuas hati dengan prestasi Adenan. Kajian yang dibuat Januari lepas itu menunjukkan peratusan itu telah meningkat berbanding 74 peratus dicatatkan pada April 2015. Dalam ucapannya di majlis itu, Awang Tengah, yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, berkata dasar-dasar yang menjaga hak dan kepentingan rakyat serta negeri ini telah menjadikan populariti Adenan semakin meningkat. Katanya dalam tempoh dua tahun, lebih 50 dasar yang tidak pernah dilaksanakan di negeri-negeri lain telah dikuatkuasakan oleh Adenan. Ini antaranya penurunan tarif elektrik sehingga 50 peratus, pengecualian bayaran elektrik untuk penggunaan tidak melebihi RM20 sebulan, penghapusan bayaran premium untuk tanah bagi pertanian dan kediaman dan penghapusan bayaran tol jalan raya. "(Dasar-dasar ini menggambarkan) matlamat dan iltizam beliau untuk menjagarakyat," katanya. -Bernama