KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan sikap pemimpin tertentu terdahulu yang sebelum ini sering memperjuang semangat kebangsaan tetapi kini sanggup meminta campur tangan asing. Beliau berkata pemimpin berkenaan juga sanggup meninggalkan prinsip dan menggadai kedaulatan negara semata-mata untuk kepentingan mereka sendiri. "Sayangnya, ada pemimpin yang dahulunya sering melaung memperjuangkan semangat kebangsaan, hari ini meminta campur tangan orang asing dalam hal ehwal negara. "Mereka ini sanggup meninggalkan prinsip malah menggadaikan kedaulatan negara semata-mata untuk agenda peribadi," katanya dalam entri terbaharu laman Facebook beliau, Khamis. Najib berkata urusan negara tidak seharusnya melibatkan campur tangan orang asing kerana ia mampu diurus dalam negara dan ditentukan oleh rakyat negara ini sendiri. "Kita tak perlu, kita jangan minta orang asing campur tangan dalam hal urusan kita. Biarlah urusan dalam negara ditentukan oleh rakyat sendiri," kata perdana menteri. -- Bernama