suria

Abu Zahar Cemerlang Lancarkan Perjalanan Demokrasi Negara - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menerima buku Yang Dipertua Dewan Negara yang ke 16 pada majlis tamat tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan), Jumaat.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  merakamkan penghargaan kepada Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang yang telah membantu melancarkan perjalanan demokrasi negara dengan cemerlang sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Perdana menteri berkata Abu Zahar telah berjaya melaksanakan peranan sebagai Speaker Dewan Negara selama dua penggal bermula 26 April 2010 sehingga badan perundangan negara itu tidak hanya dianggap sebagai 'rubber stamp' semata-mata.

"Ketokohan dan ketegasan beliau sebagai Speaker Dewan Negara, walaupun kadang-kadang nampak garang tapi sentiasa adil dan seimbang dalam membuat keputusan. 

"Ini penting kerana sebagai Speaker, bukan sahaja perlu mendapatkan kepercayaan daripada pihak kerajaan tapi juga daripada pembangkang supaya insitusi dan peranan Dewan Negara dan juga Dewan Rakyat sebagai badan perundangan negara berwibawa dan benar-benar mewakili rakyat," katanya pada majlis Tamat Tempoh Perkhidmatan Abu Zahar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara serta Pelancaran Buku Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 di sini, Jumaat malam. 

Perdana Menteri ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor.  

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta beberapa menteri kabinet, timbalan menteri, anggota Parlimen dan Senator. 

Abu Zahar, 72, akan menamatkan tugas sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 25 April ini. 

Perdana Menteri berkata sebagai Speaker, Abu Zahar dapat mengawal Dewan Negara sehingga para Senator dapat melontar idea dan pandangan bernas walaupun berbeza pendapat. 

Mengulas lanjut, Najib berkata mempunyai perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang tidak sihat dalam semangat demokrasi. 

"Banyak kali pandangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang diambil kira sehingga ada yang kita buat pembetulan, kadang-kadang, kita tarik balik Rang Undang-undang kerana kita hormati pandangan kedua-dua badan ini. 

"Saya fikir kita telah melakukan keseimbangan yang betul. Kalau ada penambahbaikan, kita setuju kerana melalui usaha seperti ini, martabat Parlimen akan sentiasa ditingkatkan," katanya. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan