suria

Guru Terpijak Ular Dikejarkan Ke Hospital

Gambar Hiasan

ALOR SETAR: Seorang guru wanita dikejarkan ke hospital selepas terpihak seekor ular di bilik stor sekolah pada tengah hari, Khamis.

Walaupun kaki kirinya kebas selepas insiden itu, doktor di Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan beliau tidak dipatuk reptilia itu.

Kejadian di Sekolah Kebangsaan Mergong itu, guru berusia 23 tahun itu masuk ke bilik stor untuk mengambil barang keperluan mengajar apabila terpijak ular sawa burung.

Terkejut melihat ular berwarna hijau itu, dia berlari keluar dari stor itu dan memberitahu rakan setugasnya yang segera membawanya ke hospital.

Petugas keselamatan sekolah itu berjaya membunuh ular berkenaan.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kota Setar, Sarjan Mohd Redza Mohd Rais berkata, panggilan kecemasan diterima dan anggotanya telah diarah untuk ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, ular itu sudah mati," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, guru berkenaan mendapat rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

"Dia dalam keadaan stabil tanpa sebarang kesan dipatuk pada kaki.

"Guru berkenaan masih dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu kakinya kebas," katanya sambil menambah guru berkenaan telah dibenarkan pulang pada Jumaat.

Pada Rabu, murid Tahun Satu SK Datuk Hashim 1 Kota Baru, Kelantan, Nuriey Nadhirah Roslan meninggal dunia akibat dipatuk ular di kawasan sekolahnya.




SK Mergong, ular sawa burung

Artikel Sebelum

Artikel Lain