suria

'Wajah' Sebenar Bukit Bendera Didedah

GEORGE TOWN: Aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan pertanian di Bukit Bendera adalah jauh lebih luas daripada apa yang difikirkan.

Walaupun beberapa tompokkan kawasan hutan yang botak di Bukit Bendera dapat dilihat dengan mata kasar dari jalan raya di bahagian bawah bukit, tinjauan dari udara memberi gambaran sebenar.

Jelas kelihatan pembukaan tanah secara berleluasa di sepanjang cerun bukit, terutama di Paya Terubong.

The Star merakamkan imej keadaan di Bukit Bendera menggunakan drone yang diterbangkan pada ketinggian 600 kaki hingga 1,500 kaki dari Jalan Paya Terubong.

Imej-imej yang mendedahkan pemandangan hodoh kawasan terbuka cerun bukit - kelihatan sama seperti di Cameron Highlands dan Lojing.

Keadaan hutan di Bukit Bendera.
Kawasan itu dibersihkan oleh petani bagi tujuan pertanian.

Sebahagian daripada mereka memiliki tanah, ada yang mempunyai lesen menduduki sementara, sementara yang lain mungkin melakukan aktiviti pertanian secara haram.


Terdapat beberapa struktur turut didirikan di lereng bukit di atas tanah perkuburan di Paya Terubong.

Gambar drone menunjukkan pekerja asing melakukan kerja-kerja pembinaan.

Terdapat juga kesan botak berhampiran sebuah menara telekomunikasi, tidak jauh dari Tokong Kuan Yin.

Ini dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya yang datang dari Lebuhraya Thean Teik berhampiran tanah perkuburan lain menuju ke Bandar Baru Air Itam.

Gambar-gambar itu turut ditunjukkan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Patahiyah Ismail dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Addnan Mohd Razali.

Patahiyah berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

"Kita sedar mengenai kawasan bukit yang terbuka. Kami juga telah mengambil gambar udara. Tindakan sedang diambil," katanya.

Patahiyah berkata kumpulan petani itu dianggap melanggar Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 jika mereka tidak mendapat kelulusan daripada pihak majlis.
Bukit Bendera

Artikel Lain