suria

Nur Nina Farisha Teruja Mahu Berpuasa Pada Ramadan Ini

KUALA TERENGGANU:"Hidup saya kini lebih tenang dan gembira menjalani kehidupan sebagai orang Islam, malah saya sangat teruja mahu menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan akan datang," kata Nur Nina Farisha Woo Abdullah.

Remaja berusia 19 tahun yang memeluk Islam dalam syarahan umum pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik di Kemaman baru-baru ini berkata beliau pernah berpuasa bersama rakannya pada 2014 dan berharap mampu menjalani ibadah itu sebaik mungkin pada tahun ini.

Nur Nina Farisha yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak di Kolej Ranaco, Kemaman berkata beliau kini sedang mengikuti kelas bimbingan agama yang disediakan pihak kolej bagi mendalami asas dalam fardu ain dan al-Quran.

"Saya bertuah kerana mempunyai ramai kawan sekolej yang sedia membantu saya untuk memahami Islam dan sedia menjawab apa sahaja soalan saya berkaitan hukum-hakam agama.

"Selepas ini, saya akan mengikuti kelas bimbingan agama yang disediakan kerajaan (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)) di Kemaman," katanya kepada pemberita selepas menerima kad perakuan memeluk Islam yang disampaikan isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria di kediaman rasmi Seri Iman di sini, Jumaat. 

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Omar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Education  and  Training Institute Sdn Bhd, Ahmad Firdhaus Ramlan.

Ditanya sama ada beliau mahu bergelar pendakwah satu hari nanti untuk menarik lebih ramai golongan bukan Islam kembali kepada fitrah, Nur Nina Farisha berkata: "Insya-Allah, jika sudah bersedia, saya akan lakukan (berdakwah)." 

Mengenai cabaran yang dihadapi selepas memeluk Islam, Nur Nina Farisha berkata beliau ada membaca di laman sosial bahawa terdapat bukan Islam yang tidak berpuas hati dengan pertanyaannya pada program syarahan umum tersebut. 

"Tapi, saya tak tertekan dengan perkara itu, yang penting saya ingin fokus dengan pengajian saya dan terus mempelajari Islam," katanya yang kini selesa dengan penampilan berhijab. 

Pada majlis itu, beliau turut menerima sumbangan khas dari MAIDAM sebanyak RM1,000 sebagai menghargai keberanian dan azamnya untuk mencari kebenaran agama serta hidayah.

Sementara itu, Halina berkata beliau sekeluarga sangat teruja menerima kehadiran Nur Nina Farisha sebagai anggota baharu keluarga tersebut dan sedia membantu remaja itu mengikut keperluan semasanya. 

"Saya beritahu Nina, dia boleh hubungi saya jika ada apa-apa perkara yang hendak dikongsikan, malah jika hendak datang ke Kuala Terengganu untuk menghadiri apa-apa majlis ilmu, kita juga sediakan penginapan buat Nina dan kawan-kawan," katanya.-- Bernama

Artikel Lain