suria

PM Umum Peruntukan Dana Bulanan Pusat Jagaan Al-Fikrah

Najib beramah mesra dengan penghuni-penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Sg Sekamat semasa melawat pusat jagaan tersebut, Jumaat. -fotoBERNAMA

KAJANG: Kerajaan bersetuju memberi dana bulanan kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah di sini untuk tempoh setahun yang akan ditadbir Kementerian Kewangan bagi membolehkan penghuninya menikmati kemudahan dan prasarana yang lebih selesa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pemberian dana tersebut berkata sebanyak RM70,000 telahpun salurkan untuk menambah baik kemudahan di pusat jagaan yang dikelolakan oleh Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia.

"Saya juga telah ambil keputusan untuk sumbang dana bulanan kepada pusat ini, yang pertama sebanyak RM70,000 telah disumbangkan dan percaya dana bulan ini dapat beri banyak kelegaan kepada penghuni pusat ini," katanya dalam ucapan ringkas selepas melawat pusat berkenaan untuk kali kedua, selepas pertama kali mengunjunginya kira-kira sebulan lepas.

Najib turut memuji usaha pihak iM4U yang berjaya merealisasikan saranan beliau dalam tempoh sebulan untuk turun padang dengan melakukan beberapa penambahbaikan prasarana yang terdapat di pusat itu.

Menurutnya, turut sama membantu ialah sukarelawan Giatmara, Majlis Perbandaran Kajang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Daerah Klang.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut berkesempatan melawat Laman Al-Fikrah yang diusahakan sendiri oleh penghuni dan anggota sukarelawan pusat berkenaan.

Laman seluas 1.8 hektar yang dijadikan sebagai tempat bercucuk tanam, menternak ikan dan ayam itu, merupakan sumber makanan harian penghuninya.

Pusat Penjagaan Al-Fikrah adalah pusat yang menyediakan bantuan dan penjagaan untuk individu yang hilang tempat bergantung, pesakit hospital yang memerlukan rawatan susulan, individu yang terabai dan ditinggalkan keluarga.

Selain itu, penghuni di pusat berkenaan terutamanya mereka yang dalam proses pemulihan dari penyakit, turut menerima rawatan fisioterapi pemeriksaan kesihatan dan sesi perapian diri.

Ketika ini, pusat berkenaan mempunyai 70 penghuni yang berusia antara 24 dan  92 tahun.

Artikel Lain