KUALA LUMPUR: Keadaan negara yang dilanda cuaca panas dan gelombang haba yang berterusan diburukkan lagi dengan kejadian kebakaran hutan dan pembakaran secara terbuka yang memberi kesan kepada tahap kualiti udara khususnya di zon tengah Malaysia. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata jerebu berpunca daripada kebakaran yang berlaku di dalam negara, bukannya dari Indonesia. Menurut Jabatan Alam Sekitar, kualiti udara merosot di Lembah Klang. Pelabuhan Klang dan Cheras mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat. Kualiti udara di zon utara dan selatan serta Sabah dan Sarawak dilaporkan mencatatkan bacaaan pada tahap sederhana dan baik. Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata mereka bekerja sepanjang masa sekali gus meletakkan diri mereka dengan risiko berbahaya ketika memadamkan kebakaran yang berpunca daripada pembakaran secara terbuka. Di Selangor, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata penyumbang utama kepada masalah jerebu ketika ini adalah pembakaran hutan rizab di tanah seluas 12 hektar di Tanjung Sepat, Banting untuk aktiviti pertanian nanas secara haram. "Kami terpaksa menggunakan helikopter untuk melepaskan air di kawasan berkenaan. Mereka sangat bijak sekarang, mereka pergi jauh ke dalam hutan dan memulakan aktiviti pertanian. Ini salah dan mereka menyumbang kepada tahap kualiti udara yang tidak sihat," katanya. Sementara itu, jabatan tersebut juga melaporkan pembakaran di tapak pelupusan di sekitar Lembah Klang secara terbuka turut dilakukan individu tidak bertanggungjawab. Beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan pembakaran secara terbuka dengan menegaskan pembakaran di tapak pelupusan mengundang bahaya kepada anggota bomba yang cuba mengawal kebakaran. Menurut jabatan itu terdapat 23 lagi lokasi panas di kesan di seluruh Semenanjung Malaysia. Pahang dilaporkan mencatatkan kebakaran terbanyak iaitu 15 kes dengan sembilan daripada di Pekan. Di Johor pula, kebakaran dilaporkan berlaku di Mersing, Segamat dan Kluang manakala Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes. Kebakaran juga dilaporkan berlaku di negara jiran, Riau, Indonesia. Menurut Jabatan Meteorologi, kebakaran di negara itu boleh menimbulkan masalah kepada Malaysia pada Mei apabila angin monsun barat daya membawa asap tersebut dari Indonesia ke negara ini. Di Miri, sekumpulan individu tidak bertanggungjawab mencetuskan kebakaran pada waktu malam untuk membersihkan kawasan hutan bagi tujuan pertanian. Menteri Muda Komunikasi Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang melawat Menara Pemantau di Tudan berkata Jabatan Alam Sekitar akan melakukan pembenihan awam di daerah tersebut. "Kebakaran ini berlaku jauh di dalam hutan dan sukar untuk dipadamkan. Kami perlu melakukan pembenihan awam dengan segera. "Jika kita boleh menghasilkan hujan, ia akan membantu memadamkan pelbagai jenis kebakaran yang berlaku di beberapa bahagian di Kuala Baram dan selatan daerah Miri, Marudi dan Niah," katanya.