suria

Premis Nombor Ekor Rugi RM23,000 Kena Pecah Masuk

ACP Muhamad Zaki Harun.

SEREMBAN: Sebuah premis nombor ekor di Jalan Utham Singh di sini, kerugian RM23,000 selepas dipecah masuk melalui bumbung premis.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu hanya disedari pekerja premis berkenaan yang mahu membuka kedai kira-kira pukul 7.30 pagi Ahad dan penyelia premis membuat laporan polis pada 9.12 pagi.

"Menurut pengadu, premis ditinggalkan dalam keadaan baik oleh pekerja terakhir yang menutupnya pada 7.15 malam.

"Tetapi pagi tadi...didapati pintu belakang kedai telah terbuka, alat penggera dipotong, terdapat kesan umpil pada pintu belakang dan kesan pecah pada siling," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

"Pengadu juga mendapati peti besi yang berada di dalam bilik khas telah terbuka... setelah pemeriksaan dibuat didapati wang tunai RM23,000 lesap.

Menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati suspek masuk ke dalam premis dengan membuka beberapa kepingan atap dan memecahkan jaring besi hadangan menggunakan peralatan khas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama

Artikel Lain