suria

'Badak Sumbu' Peneman Calon PKR Tanjong Datu

Calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem (tiga, kanan) bersama pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan (kiri) disahkan sebagai calon bertanding bagi kerusi N3 Tanjung Datu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hamsien Atar di pusat penamaan calon Dewan Masyarakat Lundu pagi Isnin. Jazolkipli kelihatan memegang maskot PKR iaitu badak sumbu.

CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan disahkan bertanding menentang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Ketiadaan wakil Parti Reformasi Negeri (Star) Sarawak pada saat-saat akhir yang sebelum ini menamakan Mura Kadir sebagai calon akhirnya membuka gelanggang satu lawan satu di kawasan yang diwakili Adenan sejak dua penggal lalu.

Bagi Jazolkipli, 51, beliau sangat teruja apabila berjaya memecahkan rekod peribadi dengan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei depan.

“Alhamdulillah, saya tak gentar malah sangat gembira apabila dapat bertanding melawan Tok Nan (Adenan).

“Peluang ini amat ditunggu-tunggu dan saya tak akan sia-siakannya,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun keterujaannya hanya dapat dikongsi bersama 'badak sumbu' yang menjadi maskot PKR sempena pilihan raya kali ini.

Jelas kelihatan beliau begitu bangga mempromosikan maskot berkenaan apabila berkali-kali mengangkat dan melambai tangan kepada pihak media yang mahu merakam gambarnya.

Sejak pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu dibuka seawal pukul 9 pagi Isnin, Jazolkipli dilihat tiba sendirian tanpa ditemani pencadang dan penyokong.

Beliau yang memakai kemeja berwarna putih dan bersongkok sebaliknya hanya dilihat memegang dokumen pencalonan dan maskot badak sumbu yang dilancarkan PKR pada Ahad.

Begitu juga ketika proses menyerahkan borang pencalonan, ahli perniagaan yang menetap di Kampung Bako dalam DUN Demak Laut itu dilihat menguruskan proses tersebut bersendirian.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, ketika Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hamsien Atar mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding, Jazolkipli tetap berkeseorangan tanpa ditemani sesiapa daripada partinya sendiri.

Tidak seperti Adenan, beliau sentiasa diiringi pencadang, Abdul Razak Abdul Wahab dan penyokong, Abu Seman Karim.

Lebih menyedihkan apabila Jazolkipli turut dilihat hanya memakai tag nama yang sepatutnya dipakai oleh penyokong pencalonannya.

Artikel Lain