suria

Usaha Dilakukan Bebas Empat Mangsa Culik Di Pulau Ligitan

BANGI: Polis telah menghantar pasukan khas ke Filipina untuk membincangkan pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan lelaki bersenjata dekat Pulau Ligitan di luar pantai Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu baharu sahaja pulang dari Manila pada Ahad selepas berkoordinasi dengan tentera dan polis Filipina.

"Saya terdengar rungutan keluarga mangsa seolah-olah kami tidak melakukan apa-apa tetapi saya beri jaminan kepada anda, kami melakukan apa yang patut untuk menjamin pembebasan mereka," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Persada bersama Ketua Polis Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, Isnin.

Empat warga Malaysia yang diculik itu dikenal pasti sebagai Wong Teck Pang, 31, Wong Hung Song, 34, Wong Teck Chi, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Kesemua mangsa diculik dari sebuah kapal MV MASFIVE 6 yang dalam perjalanan pulang ke Tawau selepas menghantar kayu balak ke Manila pada 1 April lalu.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai situasi itu kerana ia rumit dan boleh memberi risiko kepada keselamatan tebusan.

"Semua usaha sedang dilakukan. Biar kami lakukan tugas kami untuk membebaskan mereka," katanya.

culik, Pulau Ligitan

Artikel Berikut

Artikel Lain