PETALING JAYA: Pelakon dan produser Samantha Schubert menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas bertarung sebagai penghidap kanser. Schubert, 47 adalah Miss Malaysia/World 1991 meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court di mana beliau mendapatkan rawatan penyakitnya di situ, pada pukul 7.16 petang. Mendiang adalah model yang berjaya sebelum menceburi bidang lakonan dan membintangi filem seperti Red Scorpion 2 (1994), Amok (1997) dan The Red Kebaya pada 2006. Menurut laman web rasminya, kerjaya mendiang termasuk mengadakan pelbagai kempen dan lebih 30 iklan televisyen. Pelakon Tiara Jacquelina menerusi laman Facebooknya memberitahu dia terkejut apabila mendapat berita sedih itu. "Samantha adalah salah seorang ahli Kelab Kit Kat dan boleh menari dengan hebat lagu Paula Abdul, Straight Up. "Rehatlah bersama bidadari, ketawa dan menari sekali lagi wahai Sam. "Moga kekuatan kamu kekal bersama anak-anak yang dididik, sayang kamu," katanya.