MENYUSURI jalan-jalan sekitar bandaraya Kuching melepasi Satok, Semariang hingga ke Santubong pada hari kedua kempen, suasananya tenang dengan aktiviti harian masyarakat setempat. Bagi 'pelancong pilihan raya’ dan pekerja parti politik yang datang dari semenanjung, suasana seperti ini mungkin agak luar biasa. Ia umpama mengiakan cakap-cakap petugas media tempatan mengenai politik cara orang Sarawak - berhemah dan tidak agresif. Hanya mungkin dalam masa sehari dua lagi kemeriahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 dapat dirasai dengan perang bendera dan poster. Namun lain pula ganyanya tatkala menyusuri laman sosial yang lebih terbuka tanpa batasan. Perang psykologi di media sosial kelihatan lebih rancak di kalangan parti politik. Selain poster dan banner yang direka khas untuk memudahkan pengikut mereka berkongsi di laman sosial, penggunaan video muzik mula menjadi trend yang semakin popular. Jangan terkejut ketika sedang asyik meninjau timeline di facebook, anda akan melihat wajah seorang pemandu bas berusia 70an yang cukup terkenal di kalangan rakyat Sarawak. Walaupun bertopi dan imej wajahnya hanya dapat dilihat dari tepi, lenggok suaranya mengesahkan lelaki berkenaan adalah Adenan Satem - Ketua Menteri Sarawak. Tan Sri Adenan Satem muncul sekitar sepuluh saat dalam video muzik kempen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Turut sama di akhir video muzik berbilang bahasa itu ialah Presidennya, Datuk Dr Sim Kui Hian. Video muzik bertajuk Ibu Pertiwi Kita itu yang dikongsi di laman Facebook Dr Sim sehingga kini telah ditonton lebih 150,000 kali dan dikongsi oleh lebih 2,000 pengguna. Seorang pengguna Facebook, Radzi Karim cuba menjelaskan mengenai jalan cerita tersirat di sebalik video berkenaan. “Cerita ini bermaksud… CM (Ketua Menteri) Adnan kita adalah kapten kapal itu (pemandu bas). Beliau akan membawa semua orang di dalam bas (maksudnya Sarawak) untuk meneruskan perjalanan yang paling selamat mengikut rancangannya. “Datuk Dr Sim adalah salah seorang pemimpin yang membantu kapten menguruskan kapal dengan lancar. Cerita yang bagus. Love it,” tulisnya di ruangan komen. Sementara itu seorang lagi pengguna, Ally Rosly memuji mesej yang cuba disampaikan Barisan Nasional (BN) dan SUPP khususnya mengenai budaya dan cara hidup rakyat Sarawak. "Sangat positif. Berbanding video muzik parti lain. Video muzik lain sentiasa memburukkan parti lain. “Tapi yang ni mengajak kita anak-anak Sarawak untuk bersatu walaupun dalam apa situasi sekalipun. Good job…end to win! Tok Nan,” katanya. SUPP diberi tanggungjawab untuk bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini. Dr Sim sendiri akan bertanding di DUN Batu Kawah dalam saingan tiga penjuru menentang DAP dan calon Bebas.