PETALING JAYA: Koleksi setem terbaharu yang dicetak dengan latar belakang berwarna perak dan tulisan emas menunjukkan para sasterawan negara terus diberi penghormatan di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, koleksi terbaharu setem keluaran Pos Malaysia pada kali ini akan mengetengah tiga sasterawan negara iaitu Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant) dan Mohammad Abdul Biang (Arena Wati). “Keluaran koleksi setem kali ini merupakan usaha Pos Malaysia dalam memberi penghormatan kepada sasterawan negara Malaysia atas kecemerlangan mereka dalam menghasilkan karya sastera bertaraf dunia, memupuk minat membaca di kalangan warganegara Malaysia serta memelihara dan mengetengahkan warisan negara melalui koleksi setem sebegini. “Karya-karya sebegini kebanyakannya ditulis dengan tangan oleh para sasterawan ini, dan sejajar dengan itu, mata pena digunakan sebagai tanda pembatalan bagi mengenang penat lelah mereka dalam menghasilkan karya yang menjadi warisan berzaman," katanya, Selasa. Beliau berkata demikian menjelang hari pelancaran koleksi setem Sasterawan Negara yang akan diadakan pada 29 April ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016. "Saya percaya para peminat dan penggumpul setem bakal menambah koleksi mereka dengan siri koleksi pada kali ini ,” tambah beliau. Katanya, lembaran kali ini mempunyai tiga ilustrasi berharga 80 sen setiap satu. "Yang menariknya, lembaran setem kali ini dicetak dengan latar belakang perak dan bertinta emas," katanya. Katanya produk filateli lain yang dijual adalah Sampul Hari Pertama (FDC) yang disertakan brosur dan dijual pada harga 55 sen setiap satu, sementara folder dijual pada harga RM6.35 setiap satu. Harga bagi set lengkap siri Sasterawan Negara ini adalah RM57.30 setiap satu. Walaupun dilancarkan pada 29 April ini, para penggumpul serta peminat setem di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh mendapatkan koleksi setem ini pada Isnin, 2 Mei 2016.