SINGAPURA: Militan Abu Sayyaf telah bertindak memenggal kepala salah seorang daripada tiga warga asing yang diculik dari sebuah resort mewah di selatan kepulauan Filipina September lalu, sambil terus mengancam untuk membunuh tebusan lain jika mereka tidak dibayar 900 juta peso ( RM75 juta) wang tebusan. Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengesahkan bahawa tebusan yang mati dibunuh itu adalah rakyatnya, John Ridsdel, 68, seorang bekas eksekutif perlombongan. Laporan tidak rasmi yang dihantar oleh pasukan keselamatan dari Pulau Jolo, 1,900km di selatan ibu negara Manila, menyatakan bahawa dia telah dipancung sekitar jam 3 petang Isnin di bandar Patikul di Pulau Sulu. Laporan itu mengenal pasti lelaki yang telah memancung warga Kanada itu sebagai Ben Takoh Sawadjaan. Bagaimanapun, satu lagi laporan menyatakan bahawa satu lagi kepala yang dipenggal 'dilihat seperti tebusan warga Norway Kjartan Sekkingstad' ditemui berhampiran pintu masuk Dewan Perbandaran Jolo kira-kira pukul 8 malam. The Straits Times difahamkan daripada sumber yang lain bahawa kepala itu sebenarnya adalah milik Ridsdell. Ridsdell, Sakkingstad, 56, seorang lagi warga Kanada, Robert Hall, 50, dan seorang wanita Filipina, Maritess Flor, 40, telah diculik pada 21 September 2015 oleh penculik kejam dari kumpulan kecil Abu Sayyaf dari resort Holiday Oceanview Samal di pulau Samal, di wilayah Davao. Lebih dari dua minggu lalu, Abu Sayyaf mengeluarkan satu video mengancam untuk mula memenggal kepala tiga tebusan lelaki itu pada Isnin. Dengan parang dipegang di leher mereka, Ridsdell, Sakkingstad dan Hall dilihat merayu kepada kerajaan mereka untuk membayar wang tebusan sebanyak 300 juta peso (RM25 juta) bagi setiap seorang daripada mereka. Flor tidak dibenarkan untuk bercakap. Kumpulan itu telah menangguh untuk membunuh mereka pada 8 April, tetapi kemudiannya mengubahnya ke tarikh 25 April. Abu Sayyaf, yang mana ketuanya Isnilon Hapilon telah diiktiraf oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) sebagai pemimpin kumpulan itu yang terkenal dengan aktiviti peras ugut, penculikan, memenggal kepala dan pengeboman. – The Straits Times/Asia News Network