KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman menyerahkan masa depannya kepada Perdana Menteri. Ahmad Razif enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya sebagai menteri besar Terengganu dan hanya memberitahu segalanya terpulang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. "Saya serahkan kepada PM untuk membuat keputusan. "Tiada komen. Saya serahkan kepada PM," jelasnya ketika beredar meninggalkan Wisma Darul Iman selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri pada Rabu. Ahmad Razif yang tiba di Wisma Darul Iman pada pukul 9.25 pagi menyambut kehadiran pihak media dengan senyuman sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut. Beliau juga dilihat turut menyapa kesemua sembilan orang ahli exco yang hadir, kecuali Datuk Osman Muda yang tidak hadir berkecuali atas alasan peribadi.