suria

APO2016: Lima Blog Berentap Rebut Trofi Pilihan Online

Finalis Blog Pilihan Online bagi APO2016, (arah jam) Ben Ashaari, Siakap Keli, Emas Putih, Cik Epal dan Sensasi Selebriti.

PETALING JAYA: Lima blog bakal berentap merebut trofi kemenangan pada malam kemuncak Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) Sabtu ini menerusi kategori Blog Pilihan Online.

Calon lima teratas adalah blog Ben Ashaari, Siakap Keli, Cik Epal, Emas Putih dan Sensasi Selebriti.

Masing-masing mempunyai konsep, tema, gaya penulisan dan penjenamaan tersendiri bagi memberi ‘magnet’ kepada blog mereka agar diikuti ramai.

Blog Ben Ashaari mengupas kehidupan harian seorang suami dan bapa yang bergelar ‘Mr Mama Sado’ di samping berkongsi perihal keibubapaan.

"Saya sememangnya berdebar tetapi lebih rasa bangga kerana menjadi calon dalam anugerah yang turut membarisi selebriti terkenal. APO2016 merupakan anugerah lain dari yang lain kerana ia menghimpunkan ramai personaliti dari pelbagai bidang seperti sukan, fesyen dan chef," kata pemilik blog, Ben Ashaari.

Siakap Keli merupakan blog yang menghimpunkan pelbagai berita semasa, global, hiburan, politik, sukan dan teknologi.

Antara paparan di blog ini yang menarik perhatian ialah segmen viral menerusi gambar, video dan kisah yang begitu dekat dengan masyarakat.

Pengasas Dnars Faziani Rohban penaja utama Anugerah Pilihan Online 2016.

Blog Emas Putih (Kisah Emas Putih) pula memaparkan perjalanan hidup seorang wanita dengan gaya ‘hijabista’ yang suka mengembara. 

“Saya berdebar menantikan kemuncak APO2016. Semua pesaing hebat-hebat tetapi menariknya kami bersaing secara adil,” ujar pemilik blog yang dikenali sebagai Uzu.

Di sebalik perwatakan ceria Murni yang merupakan seorang isteri dan ibu, beliau turut berkongsi suara menerusi penulisan gaya hidup di blog Cik Epal.

“Kalau menang, Alhamdulillah. Kalau tidak, pencalonan ini masih menyuntik semangat saya untuk terus menulis,” kata Murni.

Sementara itu, blog Sensasi Selebriti cukup dikenali membawa dunia hiburan tempatan dan antarabangsa menerusi berita segar, panas dan eksklusif.

“Melihat calon-calon dalam kategori ini, semuanya hebat-hebat. Sukar untuk menjangka siapa pemenang. Saya berdebar menantikan malam anugerah Sabtu ini,” kata penulis blog yang lebih dikenali sebagai Budiey.

Blog manakah yang bakal dinobatkan sebagai Blog Pilihan Online pada APO2016, anda sendiri boleh menentukannya dengan mengundi pada hari terakhir pengundian hari ini (27 April, Rabu).

Undian boleh dibuat sekali sehari sama ada menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Malam kemuncak APO2016 bakal berlangsung pada 30 April ini (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Artikel Lain