JAKARTA: Seorang jurukamera televisyen, Salam TV, maut manakala dua anggota krunya parah akibat diserang oleh dua perompak bersenjata tajam, ketika bertugas di kawasan perairan Pelabuhan Ujung Baru, Belawan di Medan, Sumatera Utara tengah hari Rabu. Media dalam talian tempatan memetik Pengarah Polis Air Sumatera Utara, Tubuh Musyareh sebagai berkata, jurukamera tempatan stesen TV yang maut itu dikenali sebagai Zulfan, 39, manakala yang cedera ialah Fadlan dan pemilik bot bernama Andi. Katanya, Zulfan bersama tiga rakannya iaitu Fadlan, Zainul dan Saparudin sebelum itu membuat liputan ceramah agama di Pantai Ujung Baru dengan menaiki bot milik Andi dari kampung Pajak Baru. Beliau berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari liputan, bot mereka dihampiri oleh sebuah bot lain yang dinaiki oleh dua lelaki yang berpura-pura meminta air minuman. "Setelah mereka menaiki bot kru televisyen itu, perompak berkenaan tiba-tiba menyerang dengan senjata tajam dan Zulfan telah bergelut bersama salah seorang perompak sehingga terjatuh ke dalam laut," katanya. Perompak terbabit kemudiannya melarikan dua unit kamera. Tubuh berkata, Andi dan Fadlan mengalami luka parah di tangan dan dimasukkan ke Hospital Angkatan Laut di Medan manakala Zainul dan Saparudin terselamat. Mayat Zulfan telah dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. Polis masih melancarkan operasi mengesan perompak terbabit.-Bernama