suria

PRN Sarawak: SPRM Teliti Senarai Calon BN

Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menegaskan kesemua calon sama ada daripada parti komponen mahupun calon langsung Barisan Nasional (BN) telah ditapis termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Semua calon BN dipilih berdasarkan integriti mereka. Mereka telah ditapis oleh SPRM," katanya.

Abang Johari yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada pilihan raya negeri, 7 Mei ini, berkata semua calon BN atau lebih dikenali sebagai 'Pasukan Adenan' terdiri daripada mereka yang berintegriti tinggi.

"Saya percaya mereka yang telah dipilih akan memainkan peranan masing-masing untuk 'Pasukan Adenan' dan ia bukan hanya untuk menang tetapi bersama-sama membangunkan Sarawak," katanya.

Mengenai parti pembangkang, Abang Johari mempertikaikan kemampuan mereka melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka kepada rakyat.

Katanya, rakyat sendiri dapat melihat bagaimana mereka bertelagah sesama sendiri dalam soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya negeri kali ini. 

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan negeri Sarawak mempunyai rancangan membina rumah berharga bawah RM300,000 bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri.

Jelas Abang Johari, cadangan tersebut adalah antara usaha Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi membantu kelas pertengahan ini.

Katanya susulan harga rumah yang tinggi di kawasan bandar, maka ia  memerlukan intervensi kerajaan negeri bagi membela nasib golongan ini untuk memiliki rumah.

Beliau berkata usaha ini adalah perlu kerana dasar yang sedia ada lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

"Kita sudah ada dasar untuk membina rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah tetapi untuk golongan berpendapatan pertengahan tidak ada," katanya.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, berkata antara kaedah yang sedang difikirkan ialah menyediakan kemudahan pinjaman perumahan melalui institusi kewangan milik kerajaan untuk golongan ini.

Menurutnya, BN sentiasa komited memastikan pembangunan di Sarawak dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana golongan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain