SEREMBAN: Tujuh pekerja dalam sebuah bas kilang dan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda, cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kayu Ara, Mambau, dekat sini pagi Khamis. Selain bas kilang dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah kereta jenis Perodua Viva dan motosikal turut terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi, arah ke Seremban. "Bas kilang itu dinaiki 10 penumpang ketika itu dan tujuh daripada mereka cedera manakala seorang lagi yang cedera adalah pemandu Toyota Hilux itu. "Pemandu itu tersepit di tempat duduk dan bomba mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang cedera," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Yahya Jaffar ketika dihubungi. Yahya berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. - BERNAMA