suria

PRN Sarawak: Perang Psikologi Senjata Pancing Undi

KETIKA pakatan pembangkang dihimpit kontroversi berhubung pertindihan kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, perang psikologi mula dijadikan senjata untuk memancing undi.

Tidak ketinggalan populariti Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem turut dijadikan modal politik pembangkang bagi meraih simpati pengundi.

Formulanya mudah, pembangkang kian rancak meniup sentimen kononnya Adenan dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan terus menerajui Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei ini.

Penyandang mewakili PKR yang akan mempertahankan kerusi Batu Kintang, See Chee How berkata, beliau yakin rakyat Sarawak yang menyukai kepimpinan Adenan akan memberi peluang kepadanya untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Adenan meminta mandat untuk tempoh lima tahun lagi. Saya berpendapat ia sangat adil dan ramai rakyat Sarawak juga fikir mungkin kita boleh beri beliau peluang itu.

“Tapi siapa dalam kumpulan Adenan yang akan memastikan segala janji dapat ditunaikan?” katanya ketika berucap di hadapan pengundi DUN Batu Lintang dan Batu Kitang di sini, Rabu malam.

Mesej yang disampaikan Chee How amat jelas bahawa Adenan dan BN akan kembali ke tampuk pemerintahan.

Namun pada masa sama, tegas beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memerlukan kumpulan pembangkang yang kuat bagi melancarkan proses pentadbiran Adenan.

Pada tahap ini strategi yang digunakan calon ini adalah - meminta rakyat mengundi semua calon pembangkang termasuk ‘musuh dalaman’ - DAP yang bertanding di enam kerusi menentang PKR.

“Saya merayu semua pengundi supaya memilih kumpulan pembangkang yang kuat dan besar tidak kira daripada DAP, PKR dan Amanah untuk memastikan mereka dapat berfungsi sebagai ejen semak dan imbang.

“Mereka akan pastikan semua janji yang dibuat Adenan dapat ditunaikan dalam masa lima tahun akan datang…itu adalah lebih penting,” katanya.

PRN kali ini menyaksikan PKR dan DAP bertembung di enam kerusi iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong selepas PKR berkeras menolak pelan damai yang dicadangkan DAP formula pertukaran 'satu kepada lima’ kerusi.

DAP sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada bertanding di DUN Batu Kitang jika PKR melepaskan lima lagi kerusi yang bertindih semasa mereka.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain