Titah baginda peringatan itu bagaimanapun tidak bermakna semangat patriotik terhadap negara telah menjadi tipis, sebaliknya dizahirkan berdasar keinsafan dan kebimbangan tentang kemungkinan bangsa akan tertinggal ke belakang dalam perlumbaan global yang semakin sengit.
"Untuk itu bangsa wajiblah menyediakan payung untuk menghadapi hari panas dan hari hujan, bangsa wajib memperlengkapkan diri dengan instrumen untuk berupaya menyaingi warga dunia dengan semangat berani melangkah, berani merempuh ke hadapan, kerana perang tidak akan dimenangi secara membina benteng untuk bertahan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen ke-21 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah Malaysia terus menjadi kemunculan besar dalam pasaran global dengan penyertaannya dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) baru-baru ini, yang turut memberi banyak peluang kerjaya kepada mereka dalam profesion perundangan.
"Peningkatan aliran tawaran antara negara dilihat akan menjadi manfaat terbesar dalam TPPA dan manfaat utama bagi peguam pula akan datang daripada pelanggan bagi tawaran merentas sempadan yang kompleks," titahnya.
Oleh itu, baginda bertitah tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan menggunakan bahasa dan istilah undang-undang merupakan kemahiran tidak ternilai yang boleh memainkan peranan dalam melindungi dan memajukan kepentingan negara dan perniagaan.
"Setelah membuat peralihan daripada menjadi murid kepada seorang peguam, anda perlu ingat bahawa anda bertanggungjawab dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan anda melangkaui pesisir Malaysia untuk memenuhi standard global," titah baginda.