KUALA TERENGGANU: Pertelagahan dalam Pakatan Harapan melibatkan sekutu DAP dan PKR boleh memberikan kelebihan PAS, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Presiden PAS berkata, akibat pertelingkahan itu, partinya yang tidak pernah menang di Sarawak sebelum ini kini yakin untuk menang sekurang-kurangnya dua kerusi negeri pada pilihan raya negeri 7 Mei ini. "Kedua-dua parti yang bertanding dalam kawasan pilihan raya yang sama boleh memberikan manfaat kepada PAS. Ia akan memberikan sesuatu yang lebih positif untuk kita. "Kita yakin untuk menang sekurang-kurangnya di dua kerusi dan mungkin lebih di kawasan lain, seperti di tempat di mana seorang bekas wakil DAP kini bertanding sebagai calon Bebas menentang DAP," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam amal pada malam Jumaat. Abdul Hadi berkata, rakyat di Sarawak juga telah mula menerima PAS. "Penerimaan daripada semua adalah baik sejak hari penamaan calon. Bukan sahaja umat Islam tetapi juga yang bukan Islam. "PAS juga mempunyai calon-calon wanita dan bukan Islam di 11 kerusi yang ditandinginya. Ini sudah cukup untuk menghantar mesej di Sarawak," katanya. PKR dan DAP akan menentang antara satu sama lain di enam kerusi negeri selepas gagal mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi. PAS akan bertanding di 11 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini. Di Lambir, parti itu berada dalam persaingan tiga penjuru dengan PKR dan Barisan Nasional (BN). Di Samalaju, PAS akan bertanding menentang DAP dan BN, manakala di Samariang, pertandingan melibatkan PAS, BN dan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah). Di Pujut, pertandingan melibatkan PAS, DAP, BN dan Bebas, manakala di Muara Tuang PAS akan berdepan BN dan Amanah. PAS akan berdepan BN, Amanah dan Bebas di Sadong Jaya manakala di Pantai Damai, parti itu akan bertanding menentang BN. Di Sebuyau dan Beting Maro, persaingan berlaku antara PAS, BN dan Amanah. Kakus akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PAS, PKR dan BN, manakala di Jepak, saingan empat penjuru antara PAS, PKR, BN dan Bebas.