suria

Keutamaan Mandat Besar BN - Uggah

Douglas Uggah Embas.

KUCHING: Datuk Amar Douglas Uggah Embas, disebut-sebut sebagai Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau tidak menumpu hanya pada kerusi Bukit Saban untuk dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata: "Keutamaan saya bukan hanya menang di Bukit Sabah malah mahu membantu memastikan Barisan Nasional (BN) Sarawak menang dengan majoriti besar dan cukup menyakinkan".

"Oleh itu, salah satu tugas saya adalah untuk membantu calon BN yang lain dalam 'Pasukan Adenan' mencapai kejayaan besar...Kami mahu mandat yang kuat untuk Ketua Menteri (Tan Sri Adenam Satem).

Beliau berkata BN masih menjadi pilihan popular sebagai kerajaan di Malaysia dan hasil daripada pilihan raya negeri ini akan mencerminkannya.

Uggah, 60, adalah Anggota Parlimen Betong selama tujuh penggal dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban terletak dalam kawasan Parlimen itu.

Ditanya kemungkinan besar beliau dilantik jawatan nombor dua dalam kerajaan negeri, Uggah berkata: "Dalam PBB kita ada hierarki...Tan Sri Alfred Jabu (Timbalan Ketua Menteri) adalah timbalan presiden parti manakala saya naib presiden kanan.

Itulah sebab mereka membawa saya pulang.

Ditanya sama ada merasakan boleh berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat, katanya, beliau telah menjaga kepentingan pengundi kawasan itu sebagai anggota Parlimen.

"Dalam sistem sama ada di peringkat persekutuan atau negeri...kedua-dua kerajaan...kita berkhidmat kepada semua orang dengan dasar inklusif.

"Kami mahu melihat semua kaum berjaya di negara tercinta ini. Saya lakukan peranan saya dengan mencari jalan selari dengan falsafah Ketua Menteri untuk memakmurkan rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

"Ini ada falsafah yang amat penting yang kita perlu mendukung," katanya.

Dalam PRN-11, Uggah akan dicabar oleh calon PKR, Noel Changgai Bucking dalam saingan satu lawan satu pada 7 Mei ini. - BERNAMA

mandat besar, BN, PRN Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain