MEMANDU sejauh hampir 100 kilometer (km) dari bandar Kuching untuk menikmati semangkuk mi udang memang kerja gila. Lokasinya terletak di sebuah kampung pedalaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong yang terletak di daerah Simunjan dalam Parlimen Batang Sadong. Tanggapan awal ketika sampai di kedai Mi Undang Gumpey (MUG) yang terletak di tengah-tengah kampung Gumpey Gedong pada mulanya menimbulkan sedikit keraguan. Kedai papan di tepi jalan yang dibina di atas takungan air kelihatan biasa. Keluasannya juga tidak seperti apa yang dibayangkan. Namun ketika empat mangkuk mi udang yang dipesan mula dihidangkan, keterujaan mula terpancar dari wajah khususnya apabila melihat saiz udang galah yang disusun rapi. Daripada berada di sebuah kedai papan, kami kini umpama sedang menikmati mi udang gred A di sebuah restoran mewah. Lebih menaikkan selera apabila hidangan panas itu kami nikmati ketika hujan lebat. Rasanya sangat ‘wow’. Itu sahaja dapat digambarkan. Tekstur daging kenyal dan rasa manis udang segar yang sebati dengan kuah masam manis serta tidak terlalu pedas sangat sempuna tatkala dihidangkan dengan mi kuning dan sedikit sayur. Semangkuk mi udang di MUG berharga serendah RM10 bagi saiz kecil, RM25 bagi saiz sederhana dan RM40 untuk saiz besar. Bagi ‘penggila’ udang galah, saiz yang lebih besar daripada apa yang terdapat dalam menu boleh dipesan demi memenuhi selera anda - sekurang-kurangnya perjalanan jauh hampir 100km berbaloi. Oh ya...selain mi udang, menu lain yang perlu dicuba ialah udang galah masak merah yang dijual mengikut gred dan gram. Percayalah, rasanya sangat lain daripada udang masak merah yang pernah anda cuba sebelum ini. Sangat berbaloi untuk dipesan dan dimakan dengan nasi putih. Maka tidak hairanlah nama MUG mula menjadi buah mulut penggemar udang galah besar di Sarawak terutama di bahagian Kuching-Samarahan-Betong-Sri Aman. Pemiliknya, Bakri Kadri (gambar), 62, berkata, beliau mendapatkan bekalan udang segar setiap hari daripada nelayan sungai di kalangan penduduk tempatan secara harian. “Kampung ini sangat jauh daripada bandar, tiada yang menarik untuk dipromosikan. Jadi saya dan isteri mula memikirkan jenis perniagaan yang mungkin boleh menarik orang luar ke kawasan ini khususnya Kampung Gumpey. “Memandangkan hasil sungai seperti udang galah banyak ditangkap nelayan tempatan, kami mengambil keputusan untuk mengusahakan MUG,” katanya yang menggunakan resipi ciptaan sendiri dan diinovasikan supaya kemanisan rasa udang tidak terjejas. Menurut pesara dalam bidang perladangan kelapa sawit itu, dia tidak menjangkakan MUG yang mula dibuka sejak 2012 kini menjadi buah mulut khususnya di kalangan pelancong. Tak tahu lokasi? Jangan risau kerana MUG turut boleh dicari dalam Waze iaitu aplikasi navigasi popular bagi pengguna telefon pintar. Walaupun terletak jauh di pedalaman, MUG turut terkena tempias kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak khusunya kepada yang ingin mengisi perut bagi meredakan bahang kempen yang bakal memasuki fasa kedua minggu depan. Kata Bakri, dia menerima banyak tempahan daripada 'pelancong pilihan raya’ yang datang dari jauh khususnya Kuching. “Alhamdulillah ramai orang politik berkunjung ke MUG sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Biasanya mereka akan membuat tempahan lebih awal supaya kami dapat bersedia dengan bekalan udang yang mencukupi. “Malah saya juga diminta bersedia untuk menyambut kehadiran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz dan rombongannya ke sini pada Khamis depan,” katanya. Tambah Bakri, dia mampu menjual sehingga 40kg udang galah khususnya pada hujung minggu dan cuti umum. “Nampaknya demam pilihan raya turut membawa rezeki kepada kami. Ramai orang luar datang ke sini walaupun terpaksa memandu jauh ke sini,” katanya.