suria

PRN Sarawak: Nota Calon OKU Amanah Di Tengah Rimba

TEMUJANJI dengan calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong yang dijadualkan pada pukul 5 petang terpaksa dilewatkan lebih sejam.

Akhirnya sekitar pukul 6 petang, kereta yang membawa Rapelson Richard Hamit iaitu aktivis hak asasi manusia yang kedua-dua tangannya tidak sempurna itu muncul bersama dua lagi kenderaan lain.

Tanpa sebarang perbualan atau maklumat, Rapelson sekadar membuka tingkap kereta sambil melambai tangan sebagai isyarat menyuruh kenderaan kami mengikutnya dari belakang.

Rapelson, 30, mengalami kecacatan sejak lahir. Pemuda berketurunan Iban itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan.

Sebelum menyertai Amanah pada Disember tahun lalu, Rapelson merupakan anggota Parti Reformasi Negeri (STAR).

Nampaknya pelan asal untuk menemubual Rapelson sudah bertukar apabila kami dibawa melalui Jambatan Gedong yang menuju ke arah Simunjan - luar dari DUN Gedong.

Jalan dua lorong yang dilalui lurus namun beralun. Kiri dan kanan hanya hutan dan semak samun. Hari semakin gelap, jam ditangan menunjukkan pukul 6.15 petang.

Lima belas minit kemudian, kami akhirnya melintasi  sebuah kampung. Terlihat papan tanda jalan bertulis simpang arah ke daerah Simunjan dalam jarak dua kilometer.

Namun tiada tanda-tanda Rapelson dan rombongannya akan berhenti di lokasi terdekat untuk ditemubual seperti dijanjikan.

Ketika itu saya bersama tiga lagi rakan setugas dari Kumpulan Media Star mula berasa tidak senang hati kerana kami tiada maklumat mengenai lokasi yang ingin dituju.

Apa yang pasti lokasi yang dilalui bukan lagi berada dalam DUN Gedong yang ditandingi Rapelson sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 7 Mei ini.

Lebih membimbangkan apabila signal talian telefon mula hilang. Tiada siapa boleh dihubungi termasuk Rapelson yang berada dalam kenderaan di depan.

Kami terus memandu dalam kegelapan malam melalui kawasan perkampungan Iban, tanah perkuburan Kristian dan hutan tebal.

Kegelisahan kami bertambah apabila lampu amaran kehabisan minyak mula menyala. Sepanjang perjalanan tadi tidak pula kelihatan stesyen minyak atau kedai runcit yang menjual minyak dalam botol.

Beberapa kali cubaan kami dengan memberi isyarat lampu kereta akhirnya menyedarkan Rapelson.

Sebaik sahaja kenderaan berhenti, kami meluru keluar dari kereta dan segera mendapatkan Rapelson.

Pada masa ini baharu kami dimaklumkan bahawa dia mahu menuju ke Kampung Kepayang yang berada dalam kawasan Simunjan, namun termasuk dalam DUN Gedong.

Bagaimanapun saya memaklumkan kepadanya bahawa kami tidak dapat meneruskan perjalanan akibat kehabisan minyak. Isu minyak sepatutnya tidak timbul kerana rancangan asal adalah untuk menemubual Rapelson di Gedong kemudian terus pulang ke Kuching.

Akhirnya kami terpaksa membuat keputusan untuk menemubual Rapelson di lokasi berkenaan dengan bantuan cahaya telefon bimbit.

Di tengah rimba dan kegelapan malam, calon istimewa ini nyata tidak melupakan pengundi kawasan yang ditandinginya apabila menitipkan nota khas buat mereka.

Pada PRN kali ini, Rafelson akan menentang wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Noroden Majais.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Kajian Perancangan Dan Pengurusan Pembangunan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), adalah aktivis hak asasi manusia khususnya membela penghuni tanah adat negeri (NCR).


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain