KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang dipercayai terjatuh dalam longkang besar di Segambut Dalam, di sini petang Isnin ditemukan lemas di Sungai Klang pada Selasa. Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mayat Saufullah Hamin Al Hilal Hamim ditemukan pada pukul 11.20 pagi Selasa oleh pasukan bomba dan ahli keluarga mangsa. Azizan berkata, mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. "Sebelum ini, usaha mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak petang semalam dipergiatkan dengan penambahan anggota bomba hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata, pihaknya telah menyambung misi operasi mencari dan menyelamat pada pukul 9 pagi tadi dan akhirnya mayat mangsa ditemukan selepas lebih dua jam mencari di tebing sungai. Pada Isnin, mangsa dipercayai lemas apabila dihanyutkan air deras selepas terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Segambut Dalam, kira-kira pukul 4 petang. Operasi mencari yang disertai anggota bomba dari Jinjang, Bukit Bintang dan Sentul dan anggota Polis Diraja Malaysia(PDRM) itu disambung pada Selasa setelah mangsa gagal ditemui sehingga tengah malam. - Bernama