KAJANG: Pegawai Kementerian Pendidikan, Zaidi Yazid yang hilang sejak 1 Mei lalu, ditemui di Miri, Sarawak. Anak perempuannya, Zaheera menerusi 'posting' di Facebook berkata, bapanya ditemui di Miri dan berada dalam keadaan stabil. Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, polis menjejaki kedudukan Zaidi. "Keluarganya datang membuat laporan mengenai kehilangannya di balai polis Bandar Baru Bangi pada kira-kira 3.36 petang Isnin," katanya. Berita kehilangan Zaidi tersebar di media sosial selepas anak perempuannya mengeluarkan kenyataan di Facebook bagi meminta orang ramai tampil sekiranya mempunyai maklumat mengenai bapanya. Menurut kenyataan itu, Zaidi meninggalkan kediamannya pada Seksyen 4, Bangi pada kira-kira pukul 6 petang Sabtu lalu.