PETALING JAYA: Blog Siakap Keli (SK) tampil memberi penjelasan kenapa memilih penyanyi, Shiha Zikir sebagai wakil untuk ke pentas menerima trofi pada malam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016), Sabtu lalu. Salah seorang daripada 'tiga admin' blog itu berkata, wakil berkenaan dibayar untuk mengambil trofi kemenangan kategori Blog Pilihan Online. "Ramai yang minta penjelasan kenapa kami tak naik sendiri ke pentas untuk ambil anugerah. Lebih parah ada menyangkakan 'awek' cun yang naik itu adalah admin SK. "Yang ambil anugerah itu adalah wakil berbayar kami, Shiha Zikir, seorang penyanyi," menurut admin itu di akaun Facebook Siakap Keli. Beliau berkata demikian bagi mengulas kekecohan di media sosial mengenai Siakap Keli menghantar wakil pada APO2016, sekali gus identiti individu di sebalik blog itu masih menjadi rahsia. Menurut admin, kesemua mereka sibuk dengan urusan masing-masing pada malam APO2016 yang bersiaran secara langsung di saluran TV2, RTM. "Kami terdiri daripada tiga admin. Pada malam anugerah, seorang (admin) di lapangan terbang, seorang sedang mengemaskini perlawanan bola sepak dan seorang lagi (yang tulis ini) dalam perjalanan pulang ke kampung. "Tapi kalau berkesempatan pun memang tak lah kami nak naik," katanya. Dalam pada itu, admin turut menyifatkan calon-calon lain dalam kategori Blog Pilihan Online lebih layak berbanding mereka. "Bagi kami, 'blogger' lain yang tercalon lebih layak, tetapi kami menang juga. Alhamdulillah, apapun terima kasih kepada mereka yang undi untuk melihat kami yang menang, tetap kami hargai. "Bila kami nak 'reveal' (dedah) diri kami? Mungkin ya kami akan tunjukkan diri, tetapi pada hari terakhir 'page' (halaman) ini sebelum kami tutup satu hari," kata admin itu lagi. Siakap Keli memenangi kategori Blog Pilihan Online mengatasi empat pencabar lain iaitu Ben Ashaari, Sensasi Selebriti, Emas Putih dan Cik Epal. Akim & The Majistret diumumkan memenangi kategori Personaliti Terunggul APO2016, pada malam kemuncaknya Sabtu lalu. Keputusan pemenang bagi 18 kategori termasuk kategori utama Personaliti Terunggul APO2016 dikira berdasarkan 100 peratus di tangan pengundi dan proses pengauditan dibuat oleh panel audit bertauliah, BDO Governance Advisory. APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja utama.